Mujahid akui terkhilaf, mohon maaf, tarik kenyataan

Sinar Harian
Ogos 13, 2018 12:29 MYT
Mujahid Yusof Rawa mengakui terkhilaf dan menarik semula apa yang diperkatakannya dalam sidang media selepas bersemuka dengan seorang transgender, Nisha Ayub, Jumaat lalu. -Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa mengakui terkhilaf dan menarik semula apa yang diperkatakannya dalam sidang media selepas bersemuka dengan seorang transgender, Nisha Ayub, Jumaat lalu.
Mujahid dalam kenyataan medianya hari ini berkata, beliau turut memohon maaf terhadap pihak yang berasa terancam dengan kenyataannya itu.
Menjelaskan situasi yang berlaku ketika sidang media itu, Mujahid menjelaskan, beliau menjawab soalan wartawan yang diajukan secara spontan dan sepintas lalu.
Namun katanya, apa yang dikatakannya itu bukan kenyataan muktamad mahupun arahan namun ia sekadar respons spontan daripadanya.
"Saya juga menyedari telah berlaku sedikit kekhilafan semasa sidang media Jumaat lalu ketika menjawab soalan yang diajukan wartawan terutamanya mengenai penggunaan tandas awam dan beberapa perkara lain.
"Ingin saya tegaskan, tiada arahan atau keizinan daripada saya untuk transgender berkongsi tandas awam dengan wanita, sebaliknya hanyalah 'maybe' dan 'if' kerana ia boleh melibatkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan. Demikian juga hal berkaitan saf solat.
"Semua hal tersebut sesuai dibicarakan lanjut kelak oleh pihak mufti sebagai keputusan terbaik. Apapun, saya memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam (offended) dengan kekeliruan yang telah berlaku dan juga menarik semula kenyataan yang kurang sesuai," katanya, hari ini.
Jadi katanya, beliau meminta supaya berhenti dari memanipulasi kenyataannya dengan fitnah atau kesimpulan yang tidak pernah beliau maksudkan.
Mengulas lanjut katanya, beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa tidak bersetuju tindakan yang dilakukan golongan transgender merangkumi lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, penukaran jantina, perlakuan menyerupai wanita dan yang sebaliknya dan juga kecenderungan seks sama jenis.
"Tiada sama sekali pengiktirafan atau berkenan untuk mempromosi terhadap semua perlakuan tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Mujahid berkata, masyarakat perlulah berhenti daripada menjadi masyarakat yang menghukum.
"Tugas menghukum, bukan tugas kita. Sesungguhnya ALLAH sahaja yang berhak untuk menilai seseorang hambaNya. Kita perlu menyelamatkan, bukan hanya cekap dan pantas dalam mencaci, melaknat dan menyisihkan kerana ruang taubat sentiasa terbuka selagi nyawa belum sampai ke hujungnya.
"Komuniti transgender juga perlu berhenti menuntut hak yang menyanggah nilai norma, budaya, agama, undang-undang yang dianuti bangsa Malaysia," katanya.
#Mujahid Yusof Rawa #Nisha Ayub #saf solat #seks sama jenis #tandas awam #transgender
;