Muhyiddin, Zahid Hamidi bertemu, berbincang dari hati ke hati
Fareez Azman
November 28, 2020 16:37 MYT
November 28, 2020 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO mesti diperbaiki untuk mewujudkan keakraban di antara dua parti Melayu itu.
Sehubungan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bagi merungkai segala persoalan yang terbuku di hati.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin menegaskan, beliau dan Ahmad Zahid berbincang secara terbuka mengenai hubungan antara kedua-dua parti berkenaan.
"Untuk makluman para perwakilan sekalian, beberapa hari yang lalu saya telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Kami berbincang dari hati ke hati, bercakap secara terus terang. Kami sedar hubungan antara Bersatu dan UMNO mesti diperbaiki. Usaha-usaha mesti dibuat untuk mewujudkan keakraban antara Bersatu dan UMNO dari peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke bahagian dan cawangan,” jelas Muhyiddin.
Beliau mendedahkan mengenai pertemuan itu ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu.
Sebagai pemimpin, Muhyiddin menyedari, usaha berkenaan bukan mudah untuk dicapai, namun beliau yakin itu merupakah jalan terbaik.
Dalam masa sama, jelas Muhyiddin, hubungan antara Bersatu, UMNO dan Pas juga perlu diperkukuhkan dan tidak boleh berpecah belah mahupun bertembung sesama sendiri.
"Seperkara lagi yang dipersetujui bersama ialah untuk memperkukuhkan hubungan antara Bersatu, UMNO dan Pas. Ketiga-tiga parti ini mestilah saling memperkukuh dan memperkuatkan antara satu sama lain.
"Tidak boleh berpecah. Tidak boleh bertembung. Tidak boleh memilih haluan yang berbeza," katanya lagi.
#Muhyiddin Yassin
#Zahid Hamidi
#PPBM
#UMNO
#PAS
#Barisan Nasional
#presiden
#Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu
#Penyatuan Ummah
#politik
#pemimpin Melayu