Muhyiddin yakin Ismail Sabri akan tingkatkan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura

Astro Awani
Ogos 26, 2021 14:15 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Gambar Facebook Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin hubungan baik Malaysia dan Singapura akan terus ditingkatkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin menjelaskan, dalam satu perbualan telefon dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Khamis, isu hubungan dua hala Malaysia dan Singapura turut dibincangkan.
Menurut Muhyiddin, Hsien Loong memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus diperkasakan.
"Secara peribadi, saya amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan Lee Hsien Loong, bukan sahaja kebelakangan ini, bahkan ketika kami saling mengenali lama dahulu.
"Masih segar di ingatan pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah-tengah Tambak Johor pada Julai tahun lepas, iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Muhyiddin memaklumkan, beliau menerima panggilan telefon dari Hsien Loong yang ingin mengetahui perkembangannya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
#Muhyiddin Yassin #ismail sabri yaakob #Lee Hsien Loong #Perdana Menteri #Malaysia #Singapura #dua hala
;