Muhyiddin umum Sasterawan Negara ke-12 hari ini

Nabihah Hamid
Mac 14, 2013 07:01 MYT
Penerima Anugerah Sastera Negara yang ke-12 yang akan diberi gelaran Sasterawan Negara bakal diumumkan hari ini.
Pengumuman akan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya di Putrajaya.
Anugerah tertinggi sastera itu sebelum ini dinobatkan kepada penyair Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala pada 2011.
Mengikut tradisi, anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.
Pemilihannya dibuat oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara yang diterajui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah seliaan Kementerian Pelajaran.
Antara calon yang disebut-sebut dipertimbangkan dalam penilaian kali ini termasuklah penyair Baha Zain, Lim Swee Tin dan Siti Zainon Ismail. Penulis novel dan cerpen Fatimah Busu juga difahamkan tersenarai sebagai antara calon akhir.
Sekiranya Swee Tin, Siti Zainon atau Fatimah terpilih, mereka akan mencatatkan sejarah tersendiri kerana anugerah berprestij itu belum pernah diberikan kepada penulis bukan Melayu atau wanita.
Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara daripada Yang DiPertuan Agong serta wang tunai RM60,000 dalam satu majlis yang akan ditetapkan kelak.
Beliau juga akan menerima beberapa kemudahan lain termasuk penerbitan 50,000 naskhah karya-karyanya atau kemudahan penerbitan sehingga RM500,000. Karya-karya yang diterbitkan pula akan dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan dan agensi kerajaan.
Anugerah itu mula diperkenalkan pada 1981 dengan penulis novel Saudagar Besar Kuala Lumpur, Kamaluddin Muhammad atau Keris Mas diangkat sebagai penerima pertamanya.
Setahun kemudian, Shahnon Ahmad yang terkenal dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan menerima gelaran sama diikuti penyair dan penulis drama, Usman Awang pada 1983.
A. Samad Said kemudian diangkat sebagai Sasterawan Negara pada 1985 disusuli novelis Arenawati atau nama sebenarnya, Muhammad Dahlan Abdul Biang pada 1987.
Penyair Muhammad Haji Salleh yang terkenal dengan kumpulan Sajak-Sajak Sejarah Melayu kemudian menempa namanya sebagai Sasterawan Negara pada 1991 diikuti oleh penulis drama Tiang Seri Tegak Berlima dan Anak Tanjung, Noordin Hassan (1993) dan penulis novel Interlok, Abdullah Hussain (1996).
Penganugerahan itu kemudian terhenti selama tujuh tahun sehinggalah novelis Juara dan Orang Kota Bharu, S. Othman Kelantan atau nama sebenarnya Syed Othman Syed Omar menerima gelaran tersebut pada 2003.
Selepas satu lagi tempoh senggang selama lima tahun, anugerah itu diberikan pula kepada novelis Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto, Anwar Ridhwan pada 2009.
#Ahmad Kamal Abdullah #Anugerah Sastera Negara yang ke-12 #Dewan Bahasa dan Pustaka #Tan Sri Muhyiddin Yassin
;