Muhyiddin: Umno terbuka kerjasama dengan Pas

Bernama
September 17, 2013 06:59 MYT
Demi kebaikan bangsa Melayu dan umat Islam, Umno terbuka untuk bekerjasama dengan Pas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata kerjasama antara kedua-dua pihak itu sebenarnya telah disarankan banyak pemimpin Islam.
"Ini sesuatu yang perlu kita teliti (kerana), banyak gesaan dari kalangan pemimpin politik Islam yang mahu melihat kenapa tidak Umno dan Pas bekerjasama untuk manfaat umat Islam.
"Bagi Umno, tiada masalah di pihak kami terhadap saranan Pas dan Umno bekerjasama demi kebaikan umat Islam ini," katanya semasa menjawab soalan yang dibangkitkan pelajar mengenai perpaduan umat Islam dalam sesi dialog di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dekat sini.
Beliau juga mengakui betapa pentingnya bagi sesebuah negara Islam untuk bersatu kerana mereka masih berdepan dengan banyak cabaran.
Muhyiddin berkata persefahaman antara kedua-dua parti dari segi dasarnya boleh menyatukan orang Melayu dan umat Islam ke tahap yang kebanyakan orang ingin saksikan.
"Untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, kita perlu memahami satu sama lain, banyak benda yang perlu dilakukan, tetapi jika berjaya, banyak lagi yang boleh dilaksanakan," katanya.
Muhyiddin berkata banyak yang telah dilakukan untuk orang Melayu atau umat Islam dan berkembang maju, tetapi beliau bersetuju, ia masih belum mencapai tahap sebenar yang diinginkan kerajaan.
"Sebab itu kenapa kita bercakap mengenai kestabilan politik untuk maju lagi. Perasaan tidak selamat, (dan) ketidakstabilan tidak baik untuk negara, dan kita perlu bekerjasama untuk mengatasi masalah kita," katanya.
#Muhyiddin #PAS #perpaduan #UMNO
;