Muhyiddin: Umat Islam Malaysia perlu bersyukur sambut Ramadan dengan aman

Bernama
Julai 10, 2013 07:19 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan umat Islam di negara ini agar bersyukur kerana dapat menyambut Ramadan dalam aman dan harmoni.
Beliau berkata ketika umat Islam di negera ini meriah dan sederhana menyambut Ramadan, umat Islam di beberapa negara Islam lain ketika ini sedang menghadapi cabaran dan musibah besar termasuk ancaman keselamatan, perpaduan dan kesejahteraan.
Adalah wajib bagi umat Islam di Malaysia sentiasa mensyukuri di atas segala nikmat kurniaan Allah yang dilimpahkan kepada rakyat di negara ini.
Kita wajib mensyukuri nikmat itu mudah-mudahan Allah terus menggandakan nikmat kepada kita semua agar negara kita kekal aman dan makmur dan umat Islam terus hidup dalam suasana harmoni bersama masyarakat lain di negara ini, katanya pada pelancaran Festival Ramadan Putrajaya 2013 di Kiblat Walk di sini pada Rabu.
Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat.
Muhyiddin berkata Ramadan disambut meriah di negara ini berkait rapat dengan suasana aman, tenteram dan makmur yang dikecapi rakyat sekian lama berikutan berkat usaha, kepimpinan, rakyat jelata dan rahmat Allah.
Rakyat di negara ini harus bersyukur kerana Allah sentiasa memelihara keamanan di negara kita, melindungi keselamatan rakyat agar negara kita terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan.
Walaupun Malaysia sebuah negara Islam tetapi rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat bersama-sama memupuk persefahaman dan penerimaan walaupun terdapat kepelbagaian.
Selain itu, kita dapat membentuk perpaduan dan melaksanakan amal ibadah dan tunaikan tuntutan agama dengan sebaik-baiknya sehingga Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang berjaya membentuk cara hidup yang teratur.
Kita membangunkan umat baik dalam ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sosial yang lain...Ini adalah keistimewaan negara kita, katanya.
Festival Ramadan Putrajaya yang julung kalinya dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) menggabungkan aktiviti keagamaan, perniagaan, pameran dan hiburan bercirikan Islam.
Ia merupakan konsep yang direncanakan bagi mengimarah serta memeriahkan suasana Ramadan di sini.
Lot gerai turut disediakan untuk jualan barangan hari raya dan juadah berbuka puasa sepanjang festival ini yang bermula hari ini sehingga 7 Ogos.
Pelbagai program juga diadakan berbentuk pameran lukisan, pameran seni khat, jualan buku Islam, demonstrasi masakan, persembahan nasyid dan alunan zikir oleh artis dan kumpulan-kumpulan nasyid terkenal seperti Hafriz Hamidon, Raihan, In Team, Mirwana, Maulid dan Brothers.
Kemuncak festival ini ialah majlis Nuzul Quran dari 26 hingga 28 Julai dengan diadakan Forum Perdana di tapak festival dan artis popular dari Indonesia iaitu Habib Sheikh AsSegaf (Ya Hanana) dan Opick akan membuat persembahan.
Setiap hari PPj akan mengedarkan kurma dan air zam zam secara percuma manakala di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan diadakan jamuan berbuka puasa dan moreh secara percuma serta solat tarawih.
Solat tarawih akan dipimpin oleh imam terkenal dari Mesir iaitu Imam Samy Ahmed Abd Rahman El Feky.
#harmoni #Muhyiddin #Ramadan
;