Muhyiddin tinjau Pusat Vaksinasi COVID-19 Daerah Kota Kinabalu

Ruzaini Zulkepli
Mac 22, 2021 13:08 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan salah seorang anggota barisan hadapan mengambil suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan bagi meninjau Pusat Vaksinasi COVID-19 Daerah Kota Kinabalu sebentar tadi.
Setibanya di pusat vaksinasi sekitar jam 11 pagi, Perdana Menteri terus diberikan taklimat berkaitan perkembangan terkini mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah yang disampaikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.
Turut hadir mengiringi Perdana Menteri adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Beliau kemudiannya beramah mesra bersama anggota barisan hadapan yang sedang menunggu giliran untuk mengambil suntikan vaksin.
Muhyiddin turut menyaksikan salah seorang anggota barisan hadapan mengambil suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech.
Meluangkan masa kira-kira 20 minit, Perdana Menteri dibawa melihat sekitar kawasan pusat vaksinasi sebelum berangkat meninggalkan dewan.
Dalam pada itu, Muhyiddin dijadualkan ke Istana Negeri tengah hari ini bagi membuat kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Sesi Townhall Makmur Bersama Sabah 2030 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Kota Kinabalu #Sabah #un Juhar Mahiruddin
;