Muhyiddin tinjau proses pemberian vaksin AstraZeneca di WTC KL
Astro Awani
Mei 16, 2021 18:31 MYT
Mei 16, 2021 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa melihat sendiri proses pemberian vaksin AstraZeneca di pusat pemberian vaksin (PPV) terbesar negara, iaitu di World Trade Centre, Kuala Lumpur (WTC KL).
Untuk rekod, ini merupakan lawatan kedua beliau ke PPV, selepas kali pertama di Universiti Malaya, 11 Mei lepas.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di perkarangan WTC KL kira-kira pukul lima petang, dan disambut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Yusri Junos, serta Pengarah Komunikasi Pemasaran WTC KL, Intan Tantiyana Puteri Jaafar.
Muhyiddin kemudian meninjau kelima-lima stesen yang perlu penerima vaksin lalui, termasuk di Dewan Merdeka, Dewan Tun Razak 3, dan Dewan Tun Razak Empat.
Sewaktu melawat PPV berkenaan selama kira-kira 40 minit, Perdana Menteri juga sempat berbual pendek dengan beberapa penerima vaksin.
Kehadiran Perdana Menteri disambut dengan keterujaan mereka yang berada di PPV WTC KL, dan ada dalam kalangan mereka yang mengambil kesempatan membuat rakaman video melalui telefon pintar masing-masing.
Terdahulu, Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi berkata, penambahan dewan berkenaan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) adalah bagi memastikan penjarakan fizikal dapat ditingkatkan.
PPV AstraZeneca di WTC yang diuruskan anak syarikat tidak berasaskan keuntungan KKM, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, adalah PPV yang terbesar di Malaysia dengan kemampuan memberikan suntikan vaksin telah dipertingkatkan daripada 2,100 dos sehari kepada 8,100 dos sehari.
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Khairy Jamaluddin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#lawat PPV
#AstraZeneca
#vaksin
#WTC KL
#Dr Adham Baba