Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman di sini bagi melihat sendiri pembukaan semula sesi persekolahan.

Beliau yang hadir bersama Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan pihak sekolah.

Menerusi perkongsian yang dibuat di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata, sebagai memenuhi SOP yang ditetapkan, beliau juga menjalani proses saringan suhu badan di pintu masuk sebelum diberi taklimat.

Menurut beliau, sesi pembelajaran di sekolah tersebut hanya melibatkan pelajar tingkatan lima iaitu seramai 255 orang yang dibahagikan kepada 14 kelas daripada sembilan kelas sebelum PKP dikuatkuasakan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi taklimat berkenaan SOP yang dilaksanakan di SMK Datok Lokman, Kuala Lumpur. - Foto PMO

Malah, beliau juga berkesempatan meninjau aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dan berbual bersama sebahagian pelajar tersebut.

"Setelah tiga bulan tidak bersekolah, pastinya perasaan bercampur-baur dirasai pelajar apabila dapat kembali semula ke sekolah dan perkara itu diluahkan kepada saya semasa berbual dengan sebahagian daripada mereka tadi.

“Ada antara mereka mengakui berasa gementar atau bimbang dengan keselamatan diri berikutan ancaman pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

“Mereka bagaimanapun tetap teruja dapat kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi pembelajaran hanya berlangsung secara dalam talian,” katanya dalam muat naik status tersebut.

Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan pelajar Tingkatan 5 SMK Datok Lokman, Kuala Lumpur. - Foto PMO

Perdana Menteri dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada para guru, Pejabat Pendidikan Negeri dan Daerah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah melakukan persediaan rapi bagi memastikan garis panduan serta penyediaan SOP dapat dipenuhi sebelum sesi persekolahan bermula.

“Insya-Allah, dengan persediaan rapi dan pelaksanaan serta pematuhan SOP yang betul oleh semua pihak, saya yakin risiko jangkitan wabak dalam kalangan pelajar dapat dielakkan.

“Saya turut berpesan agar mereka sentiasa berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, jaga jarak sosial serta elakkan berada di tempat yang sesak dan sempit,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Muhyiddin mendoakan semoga semua pelajar yang kembali bersekolah dilindungi Allah dan dipermudahkan urusan dalam mengharungi kebiasaan baharu persekolahan.