Muhyiddin tiba di mahkamah disambut pemimpin PN, ratusan penyokong

Ridauddin Daud
Mac 10, 2023 08:58 MYT
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 8.40 pagi tadi bagi menghadapi tuduhan berkaitan salah guna kuasa. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 8.40 pagi tadi bagi menghadapi tuduhan berkaitan salah guna kuasa.
Sebaik tiba, Muhyiddin dan beberapa pemimpin PN terus memasuki bangunan mahkamah memandangkan proses pendakwaan dijadualkan bermula pada jam 9 pagi.
Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Turut kelihatan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Md Jidin dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.
Kenderaan membawa Muhyiddin tiba beberapa minit selepas kenderaan membawa beberapa Ahli Parlimen PN tiba di mahkamah sama.
Ketibaan bekas Perdana Menteri itu disambut ratusan penyokong yang dilihat sudah berada di luar mahkamah seawal jam 8 pagi.
Ahli Parlimen Pagoh itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan
membabitkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Astro AWANI pada Khamis melaporkan, Muhyiddin akhirnya keluar dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas lebih lapan jam memasuki bangunan itu.
Dalam sidang media di luar bangunan, Muhyiddin menafikan beliau mengambil wang rakyat dan melabel tuduhan terhadapnya adalah dakwaan terpilih.
#Muhyiddin Yassin #Muhyiddin Yassin didakwa #Jana Wibawa #Pengerusi Perikatan Nasional
;