Muhyiddin tiba di London untuk lawatan kerja lima hari

Bernama
September 8, 2013 07:24 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini Ahad untuk memulakan lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK) bertujuan meningkatkan dagangan dua hala Malaysia-UK.
Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, disertai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Seri Zakaria Sulong dan pegawai-pegawai Pejabat Timbalan Perdana Menteri, kementerian luar dan pelajaran, apabila mereka tiba di Four Seasons Hotel di sini pada kira-kira 9 pagi (4 petang waktu Malaysia).
Ketibaan mereka disambut beberapa pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan pegawai daripada beberapa agensi kerajaan di sini.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri dijadual mempengerusikan mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri di UK, dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.
Sesi itu disasarkan untuk mempromosikan dagangan dua hala dan menarik pelaburan Britain ke Malaysia, sementara menggalakkan perkaitan antara peniaga, pelabur dan usahawan kedua-dua negara.
Di antara 27 peserta yang telah mengesahkan kehadiran mereka di mesyuarat itu adalah BAE Systems, BRE Global Ltd, Commonwealth Business School, HSBC, JCB, UK Trade and Investment, dan Matradis.
Timbalan Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya, Nick Clegg, pada Selasa, di mana mereka berpeluang bertukar-tukar pendapat mengenai hubungan dua hala, serta isu serantau dan antarabangsa.
Muhyiddin akan menyampaikan ucaptama di majlis makan malam tahunan lembaga pemegang amanah Pusat Pengajian Islam Oxford, sempena mesyuarat tahunan lembaga itu, pada hari yang sama.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan UK tahun lepas dicatatkan pada RM13.737 bilion, satu peningkatan 2.6 peratus, dengan eksport berjumlah RM6.807.4 bilion (satu penyusutan 4.9 peratus), dan import pada RM6.830 bilion (naik 11.2 peratus).
Menurut satu kenyataan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, jumlah dagangan Malaysia-UK bagi Januari-Julai tahun ini dicatatkan pada RM8.236 bilion (satu peningkatan empat peratus), dengan eksport pada RM3.851 bilion (satu penyusutan 5.3 peratus) dan import pada RM4.385 bilion (satu kenaikan 13.7 peratus).
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, juga akan melawat Westminster Kingsway College di London untuk mendalami tentang pelajaran teknikal dan vokasional UK yang boleh dipelajari oleh Malaysia.
#lawatan #London #Muhyiddin
;