Muhyiddin tiba di Istana Negara untuk istiadat angkat sumpah

Harits Asyraf Hasnan, Hasimi Muhamad
Mac 1, 2020 10:09 MYT
Muhyiddin melambai kepada pihak media yang menunggu di luar Istana Negara. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara jam 9.50 pagi bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri Kelapan.
Beliau yang menaiki Proton Perdana bernombor pendaftaran W9R dilihat membuka tingkap dan melambai ke arah media yang menanti sejak jam 8 pagi lagi.
Istiadat tersebut, diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijadual berlangsung jam 10.30 pagi ini.
Pelantikan Muhyiddin, 72 tahun, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebagai Perdana Menteri kelapan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Feb, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air, menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik.
Pada masa sama, beberapa pemimpin parti dan pegawai kanan kerajaan juga mula tiba di Istana Negara bagi menghadiri upacara tersebut.
Antara terawal yang dilihat memasuki Istana Negara menerusi pintu dua adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang tiba pada pukul 9.26 pagi sebelum disusuli dengan kenderaan rasmi Yang Dipertua Dewan Negara.
Sementara, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba bersama Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri pada pukul 9.50 pagi menggunakan kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.
Serentak dengan ketibaan mereka, beberapa kenderaan yang dipercayai membawa ahli keluarga Muhyiddin turut dilihat memasuki Istana Negara.
#Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Yang di-Pertuan Agong
;