Muhyiddin tiba di Brunei untuk lawatan kerja dua hari
Najib Aroff
April 4, 2021 15:44 MYT
April 4, 2021 15:44 MYT
BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selamat tiba di Brunei bagi lawatan kerja dua hari di Bandar Seri Begawan.
Ketibaan beliau dan Isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei disambut pada pukul 4 petang.
Muhyiddin dan isteri disambut oleh Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri adalah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menteri-menteri Kabinet Brunei serta semua duta asing di Brunei.
Perdana Menteri kemudian memeriksa kawalan kehormat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Muhyiddin dijangka menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-23 yang dijadual berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada Isnin.
Rundingan tersebut adalah platform peringkat tertinggi bagi perbincangan dua hala, hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Menerusi Rundingan Tahunan itu, Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah antara lain akan menilai kemajuan kerjasama sedia ada kedua-dua negara.
Pada masa sama, tentang usaha mengukuhkan hubungan istimewa dan usaha sama pasca COVID-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Brunei.
Ini termasuk perbincangan mengenai cadangan pengwujudan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas Malaysia-Brunei, cadangan kerjasama dalam bidang diplomasi vaksin serta cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi.
Semasa Rundingan itu juga, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman dalam bidang Pengurusan Bencana, selain perjanjian antara Petronas dan Brunei National Unitisation Secretariat dalam sektor minyak dan gas.
Menurut Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein, melalui pertemuan kedua-dua pemimpin tertinggi negara juga, isu serantau akan dibincangkan dalam konteks kerjasama ASEAN.
“Hubungan dengan Brunei ini penting lebih lebih lagi apabila Brunei mempengerusikan ASEAN ketika ini dan isu serantau mesti dibincangkan bersama Perdana Menteri dan Kebawah Duli Tuanku (Sultan Hassanal Bolkiah) khususnya isu yang ada kaitan dengan Myanmar,” katanya ketika ditemui media selepas bertemu Menteri Luar kedua Brunei Erywan Yusof di sini.
Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Brunei adalah atas jemputan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
#Muhyiddin Yassin
#lawatan rasmi
#Brunei
#Bandar Seri Begawan
#Hishammuddin Hussein
#kerjasama dua negara
#bilateral
#COVID-19