Muhyiddin teruskan tindakan saman terhadap Anwar

Hasimi Muhamad
Julai 20, 2023 23:23 MYT
Muhyiddin berkata dokumen yang dikemukakan Anwar pada Khamis bukan berkait dengan pelupusan hutang peneroka Felda, sebaliknya ia berkenaan dengan sukuk - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Bekas Perdana Menteri itu berkata Perdana Menteri gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka dalam tempoh 24 jam, seperti dituntut.
Menurut Muhyiddin lagi, dokumen yang dikemukakan Anwar pada Khamis juga bukan berkait dengan pelupusan hutang peneroka Felda, sebaliknya ia berkenaan dengan sukuk.
Justeru, Muhyiddin menegaskan pendedahan dokumen tersebut membuktikan beliau bercakap benar, manakala Anwar didakwa telah berbohong dan memfitnahnya.
"Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka Felda.
"Siaran Media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun saya selesaikan pada tahun 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa dokumen sukuk yang didedahkan turut menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang ditandatanganinya sebagai Menteri Kewangan.
Keadaan itu, jelas Muhyiddin disifatkan sebagai 'bahaya'.
"Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.
"Jelas Anwar tidak layak untuk kekal sebagai Perdana Menteri.
"Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Anwar, lagi besar mudaratnya kepada rakyat," tambah Muhyiddin lagi.
Anwar hari ini mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait jaminan kerajaan Felda yang telah ditandatanganinya.
Dokumen berkenaan didedahkan susulan tuntutan Muhyiddin dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.
Dalam tuntutan tersebut, Muhyiddin antara lain menuntut agar Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah tersebut dan memadamkan semua penyiaran kenyataan fitnah dalam tempoh 24 jam selepas menerima surat berkenaan.
Beliau juga menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataan berunsur fitnah.
#Muhyiddin Yassin #Anwar Ibrahim #Felda #permohonan maaf
;