Muhyiddin temui wakil Dong Zong Johor esok
Astro Awani
September 3, 2019 14:36 MYT
September 3, 2019 14:36 MYT
Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Johor yang dibatalkan pendaftaran sejak awal bulan lalu akan menemui Kementerian Dalam Negeri, esok.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kes pembatalan Dong Zong bukan masalah serius sebaliknya hanya berlaku pelanggaran peraturan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sahaja.
“Mereka akan jumpa saya esok dan nanti saya akan dengar pasal ini bukan masalah apa. Ini masalah pengurusan salah sebuah persatuan yang bergabung di bawah Dong Zong kerana mereka tidak mematuhi peraturan-peraturan pendaftar pertubuhan.
“Maka saya telah diberi satu laporan tetapi esok mereka akan hadir, saya akan jemput Pendaftar bersama-sama dan lihat apa yang boleh dilakukan supaya mana yang boleh diperbetulkan, kita perbetulkan,” kata beliau pada sidang media, di kementeriannya, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong berkata, pihak telah memfailkan rayuan kerana pembatalan cawangan Johor persatuan itu oleh RoS Johor.
Menurut Chee Chong, pada 20 Ogos lalu, pihaknya menerima surat pembatalan bertarikh 8 Ogos daripada pengarah RoS Johor.
Pembatalan itu dibuat dengan alasan pihak RoS Johor tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan penglibatan guru.
Januari lalu, Dong Zong menerima surat tunjuk sebab daripada RoS Johor kerana perlembagaan mereka bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 kerana terdapat penglibatan guru-guru.
#Cina
#Dong Zong
#guru
#Kementerian Dalam Negeri
#Malaysia
#Menteri Dalam Negeri
#Muhyiddin Yassin
#Pendaftar Pertubuhan
#ros
#Tan Sri Muhyiddin Yassin