Muhyiddin sokong pelan kerajaan laksana HSR, cadang sambung ke Thailand
Bernama
September 30, 2021 16:26 MYT
September 30, 2021 16:26 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Johor Bahru.
Dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) turut mencadangkan laluan ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara.
"Impak projek seperti ini akan memberi kesan berganda dalam membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu serta pembangunan wilayah dan pewujudan bandar-bandar baharu sepanjang laluan HSR.
"Ini sudah tentunya akan menghasilkan nilai berganda berbilion ringgit dan mendatangkan manfaat besar kepada rakyat termasuk masyarakat Bumiputera," katanya yang memegang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.
Pada 1 Januari lepas, kerajaan Malaysia dan Singapura bersama-sama mengumumkan pembatalan projek kereta api itu sejauh 350 kilometer setelah gagal mencapai kata sepakat mengenai cadangan perubahan pada tarikh akhir 31 Dis, 2020.
Perjanjian dua hala bagi pembangunan projek, yang ditandatangani dengan Singapura pada 13 Dis, 2016, adalah berlandaskan aspirasi untuk penyepaduan ekonomi yang lebih erat antara kedua-dua negara.
Malaysia telah membayar sebanyak SG$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung membabitkan pembangunan projek HSR serta berkaitan dengan lanjutan penangguhannya.
-- BERNAMA