Muhyiddin: Sikap saling menghormati boleh kekalkan keamanan

Astro Awani
Disember 3, 2013 16:50 MYT
Keadaan stabil dan aman yang dinikmati di Malaysia dan arena antarabangsa akan menjadi huru-hara jika semua pihak lalai dan tidak menghormati antara satu sama lain, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya keadaan yang aman dan stabil itu perlu dikekalkan melalui integrasi dan saling memahami dikalangan masyarakat yang berbeza.
"Setiap seorang daripada kita bertanggungjawab mencari ruang bersama untuk dikongsi antara satu sama lain, dalam ruang kecil, dalam setiap cara dan begitu juga dalam idea dan aspirasi yang hebat berkaitan dengan kehidupan kita.
"Setiap daripada kita perlu menggunakan akal fikiran dan tindakan bagi melahirkan realiti keterbukaan. Itu tanggungjawab kita," katanya ketika menutup Forum Antarabangsa Umno 2013 yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno di sini, Selasa.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata beliau percaya prinsip kesederhanaan akan terus menyediakan suasana aman, harmoni dan stabil yang berpanjangan untuk Malaysia dan masyarakat dunia.
Forum dua hari itu disertai oleh 121 delegasi yang mewakili 31 buah parti politik dari 25 buah negara.
#forum antarabangsa #Tan Sri Muhyiddin Yassin #umno 2013
;