Muhyiddin serah pada PM tentukan tarikh pertemuan

Astro Awani
Julai 30, 2022 16:33 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan keputusan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh pertemuan bagi membincangkan semula terma perjanjian antara gabungan itu.
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan keputusan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh pertemuan bagi membincangkan semula terma perjanjian antara gabungan itu.
Menurut Muhyiddin, pertemuan antara beliau dan Ismail Sabri adalah susulan kekecewaan PN berikutan terma perjanjian yang tidak dipenuhi sebelum ini.
Kata bekas Perdana Menteri itu, antara terma tersebut melibatkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bilangan jawatan dalam Kabinet untuk diisi oleh wakil rakyat PN yang masih tidak dipenuhi.
“Saya tak nak ulang lagi.. Dah... dah… dah jelas. Itu (pertemuan) terserah pada Perdana Menteri untuk tetapkan masa,” kata Presiden Bersatu itu di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Muhyiddin berkata, PN akan menghantar delegasi untuk bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian kerjasama antara gabungan itu dan Putrajaya.
Sebelum ini, Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perdana Menteri dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma penting yang terkandung dalam perjanjian dengan gabungan itu.
#Muhyiddin Yassin #ismail sabri yaakob #terma perjanjian #Perikatan Nasional
;