Muhyiddin sendiri harus redakan gerakan Bersih - Bastien

Wan Syamsul Amly
Oktober 16, 2016 07:33 MYT
Bastien Onn berkata ia merupakan strategi yang memungkinkan gerakan Merah menghentikan sebarang cubaan provokasi daripada kumpulan Bersih sendiri. -Gambar fail
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya memulakan langkah pertama meredakan gerakan Bersih seandainya mahu memperbaik hubungan sesama kaum di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata ia merupakan strategi yang memungkinkan gerakan Merah menghentikan sebarang cubaan provokasi daripada kumpulan Bersih sendiri.
"Provokasi bukan fizikal yang dimulakan oleh Bersih telah mengakibatkan kumpulan Merah yang diketuai Datuk Jamal Yunos bertindak dengan cara fizikal.
"Sebagai contoh, tindakan mereka menghantar seorang penunggang motorsikal Bersih menuju ke kumpulan Merah baru-baru ini merupakan satu tindakan provokasi yang mengundang tindakan secara fizikal. Mereka tahu bahawa apabila sekumpulan orang berkumpul, ia akan menyebabkan emosi sukar dikawal.
"Kesempatan itu diambil mereka untuk mengedarkan video-video kepada rakyat untuk meraih simpati dan belas kasihan. Kita amat mahir dengan cara dan pendekatan provokasi yang dibuat gerakan Bersih ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Bastien mengulas kenyataan Muhyiddin yang mempertikaikan kenyataan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca keadaan hubungan kaum yang semakin buruk di Malaysia.
Kata Muhyiddin, kenyataan Datuk Seri Najib adalah suatu tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali dan amat hipokrit.
Muhyiddin turut menyatakan kumpulan Baju Merah telah menggunakan pendekatan yang rasis lagi agresif semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai terhadap kehadiran mereka.
Tegas Bastien, gerakan Bersih yang memulakan semua bentuk provokasi sehingga kemuncaknya pada perhimpunan Bersih 2 dan Bersih 3 yang menunjukkan sokongan Cina yang terlampau sebelum ini.
"Kerana itu lahirnya kumpulan Merah adalah reaksi aktif orang Melayu kepada gerakan Bersih yang didominasi kaum Cina.
"Dari gerakan yang kononnya untuk menuntut sebuah pilihan raya yang telus, Bersih bertukar menjadi platform untuk kaum Cina menunjukkan penentangan kepada Kerajaan," katanya.
Dalam pada itu tegas Bastien, Anwar sendiri merupakan seorang aktivis bahasa dan sering mengapikan perkauman demi kepentingan politik peribadi.
"Muhyiddin sendiri pernah berkata dia akan mengutamakan Melayu dari semua aspek, tidakkah itu sesuatu yang harus direnungkan?
"Anwar ketika menjadi Menteri Pendidikan juga telah memperketatkan kemasukan guru-guru ke sekolah Cina, tidak mengiktiraf guru-guru kelulusan Cina selain menggunakan kedudukan orang Melayu untuk menekan kaum Cina melalui pendidikan.
"Karier politik Anwar dilonjakkan dengan menggunakan sentimen kaum Melayu, menebalkan semangat perkauman dan langsung mengenepikan peranan sekolah sebagai tempat untuk memupuk semangat perpaduan," ujarnya.
Kata Bastien lagi, Datuk Seri Najib telah melihat semula ke belakang dan cuba memperbetulkan keadaan untuk mengembalikan Malaysia ke landasan sebenar.
"Ia ramuan untuk kita semua bergerak sebagai sebuah negara berbilang kau. Ini perlu diamati dan diterima baik oleh semua kaum. Perpecahan bukan berlaku di bawah Datuk Seri Najib yangg mencetus konsep 1Malaysia.
"Jangan dilupa, Anwar juga telah membawa masuk fahaman dan ideologi Islam dari negara-negara Arab dan mengenepikan keIslaman Melayu.
"Anwar jugalah yang merosakkan fundamental kemerdekaan Malaysia. Kita dahulu merdeka dengan semangat perpaduan yang tinggi," jelasnya.
Sebelum ini, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata perhimpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November ini.
Maria berkata perhimpunan kali ini menuntut lima perkara dilaksanakan, antaranya mengadakan pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah, dan memperkasa Sabah dan Sarawak.
Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hadir ke perhimpunan Bersih 4, dekat Dataran Merdeka pada tahun lepas.
Dr Mahathir juga menyifatkan perhimpunan berkenaan sebagai satu gerakan rakyat.
Ujarnya, rakyat kini hanya cuba menyuarakan perasaan dan kebimbangan mereka tentang hal ehwal negara.
#Anwar #BAstien #Bersih #Mahathir #Muhyiddin #Pemuda UMNO #PPBM
;