Muhyiddin sekali lagi akan dirakam keterangan - KPN
Sinar Harian
September 12, 2023 13:04 MYT
September 12, 2023 13:04 MYT
KUALA LUMPUR: Polis sekali lagi akan mengambil kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan dakwaan kenyataan berkaitan orang Melayu akan hilang kuasa ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, Johor pada Khamis ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu akan diambil berhubung kenyataan beliau yang berunsur 3R (agama, bangsa dan raja).
"Kertas siasatan telah dibuka selepas laporan polis diterima pada 7 September lalu, sesi rakaman keterangan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
"Siasatan berkaitan kes ini akan dijalankan di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya pada Selasa.
3 September lalu, bekas Perdana Menteri itu didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah kempen DUN Simpang Jeram, Johor.
Ucapannya itu turut dikongsi menerusi halaman Facebook yang mana mengandungi “Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak.”
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Muhyiddin Yassin
#diambil keterangan
#Melayu hilang kuasa
#Ketua Polis Negara
#Razarudin Husain
#PRK Simpang Jeram