Muhyiddin, Rafizi jadi contoh RUU Antiberita Tidak Benar
Harits Asyraf Hasnan
April 2, 2018 14:50 MYT
April 2, 2018 14:50 MYT
Seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini membidas Pakatan Harapan yang menolak Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 sedangkan pihak itu pada masa sama mahu membetulkan persepsi parti masing-masing.
Wakil rakyat Setiu Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyindir ahli Parlimen pembangkang dengan memberi contoh paling mudah.
Katanya, ia bukan sahaja mudah untuk difahami kesemua ahli Parlimen, malah menjadikan mereka berfikir mengenai kepentingan RUU tersebut pada masa akan datang.
"Cuba lihat kepada Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang dikaitkan dengan skandal dengan isteri orang. Adakah ini berita palsu ataupun tidak?
"Cuba lihat pula kepada Ahli Parlimen Pandan (Rafizi Ramli) yang disiarkan dalam Malaysiakini (menerusi artikel) 'Pemimpin PKR dedahkan sikap sebenar Rafizi'. Adakah ini bohong? Adakah ini benar?
"Selagi tidak dinafikan, kita pun tidak tahu sama ada benar atau tidak. Ada lagi. 'Kepimpinan Muhyiddin punca PPBM kucar-kacir'. Adakah ini nak dibenarkan?
"Kalau lulus sahaja RUU ini, mereka tersebut boleh buat laporan polis dan sebagainya," kata Che Mohamad ketika membahaskan RUU tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dijangka akan menggulung usul RUU Antiberita Tidak Benar 2018 di Dewan Rakyat jam 3.30 petang ini.
Difahamkan terdapat pindaan kepada beberapa fasal melibatkan hukuman dalam RUU tersebut sebelum ia diluluskan hari ini.
#Azalina Othman Said
#Barisan Nasional
#Che Mohamad Zulkifly Jusoh
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pembangkang
#Rafizi Ramli
#undang-undang