Muhyiddin pesan bakal haji doakan negara kekal aman

Bernama
Ogos 11, 2015 10:20 MYT
MUHYIDDIN: Berdoa di tanah suci Makkah adalah diibarat peluang yang istimewa bagi bakal jemaah untuk hasrat mereka dimakbulkan. - Foto Bernama
Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpesan kepada bakal haji agar mendoakan negara kekal aman dan sejahtera, ketika mereka berada di tanah suci Makkah.
Beliau berkata mereka juga perlu mendoakan supaya pemimpin negara dijauhkan daripada perbuatan menjurus kepada fitnah.
"Mohon Allah swt memberikan keadaan lebih sejahtera, ekonomi negara bertambah baik, pendapatan juga melimpah dan kurniaan bertambah-tambah," katanya ketika berucap pada majlis meraikan bakal Haji/Hajah anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Sri Pekembar di Pagoh, di sini hari ini.
Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh bersama-sama para jemaah menunaikan solat Zuhur dan solat sunat hajat bagi mendoakan keselamatan bakal haji ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.
"Berdoa di tanah suci Makkah adalah diibarat peluang yang istimewa bagi bakal jemaah untuk hasrat mereka dimakbulkan selain umum tahu pahalanya besar.
"Bila berada di Makkah akan ada perasaan luar biasa terutama apabila melihat Kaabah, berada di Masjid Nabawi dan Makam Rasulullah (di Madinah). Justeru, berdoalah selalu setiap masa," katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sagu hati dan kelengkapan untuk mengerjakan haji kepada 74 bakal haji dan hajah.
BACA: Muhyiddin nafi berkomplot dengan pembangkang
BACA: Jangan hanya dengar suara pembodek - Muhyiddin
BACA: UMNO perlu terus jadi tunjang kepada kerajaan memerintah - Muhyiddin
#bakal haji #doa #Mekah #Muhyiddin Yassin