Muhyiddin persembah situasi COVID-19 ketika menghadap Sultan Johor

Bernama
Mac 19, 2020 16:43 MYT
Muhyiddin Yassin hari ini mempersembahkan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai situasi terkini COVID-19 di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada Khamis. - Gambar Facebook Sultan Johor.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai situasi terkini COVID-19.
Menerusi catatan dan beberapa gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Johor, Muhyiddin mempersembahkan perkara itu ketika menghadap baginda selama hampir sejam.
Menurut catatan itu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir di Istana Pasir Pelangi, di sini.
Ini adalah majlis menghadap pertama Muhyiddin ke atas baginda, selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.
Menurut catatan itu, Muhyiddin bersama tetamu kehormat yang lain turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari. - BERNAMA
#COVID19 #Istana Pasir Pelangi #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #Sultan Johor
;