Muhyiddin pengerusikan mesyuarat Kabinet pertama hari ini
Bernama
Mac 11, 2020 10:57 MYT
Mac 11, 2020 10:57 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Perdana Putra di sini.
Mesyuarat yang bermula pada pukul 9.25 pagi itu dihadiri kesemua 31 menteri yang dilantik.
Sebelum mesyuarat Kabinet itu bermula, Muhyiddin menyertai sesi bergambar bersama jemaah menteri.
Pada Isnin (9 Mac), Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinet, yang buat pertama kali dalam sejarah negara tidak menamakan timbalan perdana menteri.
Muhyiddin sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Menteri-menteri Kabinet yang dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini, semalam.
Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac.
Turut hadir dalam mesyuarat Kabinet pertama itu ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Datuk Dr Farizah Ahmad.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah
#Azmin Ali
#Fadillah Yusof
#ismail sabri yaakob
#Malaysia 2020
#mesyuarat Kabinet
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri kelapan