Muhyiddin pengerusi jawatankuasa khas lancarkan sistem pendaftaran kewarganegaraan

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 2, 2018 19:05 MYT
MUHYIDDIN: Kes-kes pendaftaran tertangguh di kawasan pendalaman yang melibatkan masalah logistik seperti Sabah dan Sarawak juga akan dikaji semula. - Astro AWANI
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti isu sistem pendaftaran kewarganegaraan rakyat negara ini.
Ia bagi menunaikan manifesto Pakatan Harapan yang berjanji akan memberikan sijil kewargenegaraan kepada kaum minoriti di negara ini.
“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk saya pengerusikan jawatankuasa khas ini dengan kerjasama Menteri Sumber Manusia untuk menyelesaikan masalah tertangguh berkaitan pendaftaran kewargenegaraan.
“Isu seperti pendaftaran kewargenegaraan, kad pengenalan merah dan pendaftaran tertangguh akan kami selesaikan sebahagiannya dalam tempoh terdekat ini.
“Sejurus selesai, kami akan maklumkan dan menyerahka dokumen berkenaan kepada mereka yang terlibat dalam isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja di Jabatan Pendaftaran Negara, di sini pada Isnin.
Tambahnya, antara isu lain yang akan diselesaikan adalah sistem pendaftaran buat masyarakat di Sabah dan Sarawak dan akan mempertingkatkan sistem teknologi bagi tujuan melancarkan pendaftaran warganegara.
“Kes-kes pendaftaran tertangguh di kawasan pendalaman yang melibatkan masalah logistik seperti Sabah dan Sarawak juga akan dikaji semula.
“Kami juga akan mempertingkatkan sistem teknologi agar proses pendaftaran lebih efisien dan dapat mengurangkan masa menunggu pendaftaran selesai,” ujarnya.
Sementara itu, Muhyiddin ketika diminta untuk mengulas tentang perlantikan Datuk Mohd Azis Jamman sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri sempat berseloroh dan berkata beliau gembira dengan perlantikan timbalan yang kacak.
Bagaimanapun, beliau bersyukur atas perlantikan itu kerana tenaga kerja itu sangat diperlukan kementeriannya.
“Kementerian ini sememangnya memerlukan tenaga kerja dan perlantikan Azis dilihat dapat melancarkan urusan terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak,” katanya.
#jawatankuasa khas #kewarganegaraan #Muhyiddin Yassin #pendaftaran #pengerusi #sistem pendaftaran
;