Muhyiddin nafi dakwaan nombor MyKid Prasana ditukar JPN

Arfa Yunus
Mac 1, 2019 19:17 MYT
MUHYIDDIN: Terbukti tuduhan itu palsu dan tidak benar.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan terdapat manipulasi dilakukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkenaan nombor pengenalan baharu MyKid Prasana Diksa, iaitu anak kepada M. Indira Gandhi.
Semasa ditanya pemberita, Muhyiddin berkata dakwaan itu adalah tidak benar dan siasatan telah dilakukan oleh pihak JPN.
“Ketua Pengarah Pendaftaran sudah menyiasat bahawa kenyataan itu tidak benar dan saya minta supaya Ketua Pengarah membuat satu kenyataan yang jelas tentang tuduhan yang mengatakan ada manipulasi menukar nombor anak yang dibawa lari.
“Jadi saya kata, saya bertanggungjawab dan saya sudah minta Ketua Pengarah menyiasat. Terbukti tuduhan itu palsu dan tidak benar,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan di sini pada Jumaat.
Tambahnya, beliau menyerahkan kepada Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah untuk membuat keputusan sekiranya jabatan itu ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap Pasukan Bertindak Indira Gandhi (INGAT).
Pada 23 Februari, INGAT mendakwa nombor MyKid Prasana telah ditukar, menyebabkan usaha untuk mengesan lokasinya semakin sukar.
Mereka mendakwa ini kerana rekod Prasana tidak ditemui dalam pengkalan data Kementerian Pelajaran.
Justeru, Indira berkata dia telah membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap JPN, KDN serta bekas menterinya Ahmad Zahid Hamidi.
#JPN #M Indira Gandhi #Muhyiddin Yassin #mykid #pendaftaran #Prasana Diksa
;