Muhyiddin: Mudah bangunkan Sg Limau jika pilih BN
Bernama
Oktober 23, 2013 14:13 MYT
Oktober 23, 2013 14:13 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan persekutuan dan negeri akan lebih mudah membawa kemajuan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau jika calon Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Timbalan perdana menteri berkata ini juga akan mewujudkan hubungan langsung antara wakil rakyat kawasan itu dengan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat di bawah BN, bagi membawa masa depan yang lebih cerah kepada penduduk Sungai Limau.
"Kalau mereka lihat masa depan kawasan Sungai Limau ini, kalau wakil itu datang dari BN, urusan majukan dalam semua bidang seperti pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain lebih mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu di sini, hari ini.
Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau pada 4 Nov ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat.
Kerusi DUN Sungai Limau kosong selepas wakil rakyatnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 Sept lepas. Azizan merupakan penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995.
"Kami yakin walaupun Sungai Limau dikatakan kubu kuat PAS, yang kita (BN) dilihat sebagai underdog, dan peluang tidak secerah PAS, tapi kami (BN) yakin pengundi di sini mempunyai sifat untuk membuat penilaian secara mendalam, terperinci dan tidak beremosi," kata Muhyiddin.
Beliau berkata jika calon BN Ahmad Sohaimi diberi peluang, "maka ini akan beri satu laluan yang lebih mudah untuk kita laksanakan apa saja agenda untuk majukan penduduk Sungai Limau."
Timbalan Pengerusi BN itu berkata BN telah memilih calon paling layak dengan latar belakang pendidikan dan pengurusan yang baik.
Malah Ahmad Sohaimi sendiri telah menyatakan komitmen memajukan Sungai Limau, kata Muhyiddin.
Menyentuh pendekatan kempen, beliau berkata wakil-wakil BN sama ada dari peringkat negeri mahupun pusat akan menemui semua pengundi dan menjelaskan sendiri pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang menjelang hari pengundian 4 Nov ini.
Muhyiddin berkata isu-isu itu akan dijelaskan secara terperinci baik soal pembangunan, belanjawan, harga barangan dan apa sahaja perkara berbangkit termasuk peningkatan harga padi dan infrastruktur.
"Walaupun ada pembangkang cakap kemenangan di sini tak ubah apa-apa dari soal pentadbiran negeri, tapi bagi kami pembelaan nasib masyarakat di Sungai Limau itu yang paling utama," katanya.
Tambahnya: " Sebab itu wakil rakyat adalah penting. Mereka inilah yang kita yakin boleh sampaikan segala isu permasalahan yang penting untuk kita selesaikan," katanya.
Ditanya sama ada pertembungan dua calon itu akan memberi lebih peluang kepada BN memenangi pilihan raya kecil itu berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada Mei lepas yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, Muhyiddin berkata ia mungkin memberi peluang lebih baik kepada BN.
"Pada PRU dulu kita kalah dengan majoriti 2,774 undi tetapi ini bukan mustahil untuk kita perbaiki," jelas beliau.
Timbalan perdana menteri turut ditanya mengenai cadangan mewujudkan manifesto baharu bagi pilihan raya kecil ini, dan beliau berkata manifesto PRU-13 masih ada dan boleh terus dilaksanakan di Sungai Limau.
Bagaimanapun, katanya, Mukhriz boleh merangka strategi baharu jika mempunyai perancangan khusus memajukan kawasan itu yang kelihatan banyak ketinggalan dari aspek pembangunan sejak beberapa tahun lepas.
"Apa yang kita lihat adalah masa depan (dan) apa yang boleh kita buat untuk perbaiki kekurangan. Ini komitmen kita," katanya.
Sementara itu, menyentuh suasana harmoni yang tergambar semasa proses penamaan hari ini khususnya dengan kehadiran banyak pemimpin utama dari BN dan PAS, Muhyiddin berharap ia dapat diteruskan sepanjang tempoh berkempen.
Katanya parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan rasional mengikut tertib agama selain memberi ruang yang luas untuk pengundi memilih wakil rakyat mereka.
"Suasana harmoni ini adalah satu petanda baik. Saya percaya mereka (Pakatan Rakyat) mempunyai tujuan yang sama tetapi kita harap rakyat pilih kita kerana kita yakin mampu laksanakan tanggungjawab," katanya.