Muhyiddin: MT UMNO individual terbukti cemerlang

Astro Awani
Disember 1, 2013 09:48 MYT
Mereka yang dilantik menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO merupakan individu yang telah terbukti cemerlang dalam bidang diceburi dan mempunyai latar belakang yang baik.
Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap mereka yang dipilih dapat memberi sumbangan dan pandangan mereka kepada parti.
Jelasnya sumbangan dan idea tokoh agama yang dipilih mampu memperkukuhkan lagi perjuangan UMNO terutamanya untuk kepentingan masa depan khususnya untuk umat Islam.
"Bagi saya bila seseorang itu dipilih untuk menganggotai MT kita melihat kepada ketokohan latar belakang bauk yang ada latar belakang agama profession kesemuanya kita nak rangkumkan supaya UMNO dilihat sebagai parti yang dinamik yang kita mahu supaya tokoh-tokoh sebegini boleh berikan sumbangan, idea mereka pandangan mereka untuk memperkokohkan perjuangan kita,” kata Muhyiddin.
“Jadi apapun perjuangan kita tu ialah ikhlas sebab itu dalam lantikan-lantikan kita lantik tokoh-tokoh agama pendakwah-pendakwah yang mempunyai pengaruh supaya mereka dapat memberikan pandangan kepada kita," tambah beliau.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang merupakan antara sembilan anggota MT UMNO yang dilantik.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata perhimpunan agung UMNO pada minggu depan akan memfokuskan kepada isu mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam.
#Dr Asyraf Wajdi Dusuki #majlis tertinggi #Muhyiddin Yassin #UMNO #Ustaz Mohammad Kazim Elias #Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM)
;