Muhyiddin mohon maaf kepada rakyat Malaysia

Fareez Azman
Ogos 16, 2021 07:56 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia sepanjang beliau mengalas tugas sebagai Perdana Menteri sebelum ini. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada Isnin.
Muhyiddin yang dilantik sebagai Perdana Menteri Caretaker oleh Yang di-Pertuan Agong berkata, beliau dan barisan menteri Kabinetnya telah cuba berusaha melakukan yang terbaik dalam usaha menyelamat dan melindungi nyawa rakyat berikutan jangkitan COVID-19.
"Saya ingin ambil kesempatan ingin memohon keampunan daripada saudara saudari segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang jadi Perdana Menteri.
"Saya dan rakan-rakan jemaah menteri telah cuba melakukan terbaik untuk mneyelamatkan nyawa dan melindungi saudara saudari sekelian dalam tempoh krisis masih kita hadapi pada masa ini.
"Namun, sebagai manusia seperti biasa pastinya ada salah silap di sana sini, jadi saya mohon ribuan ampun dan maaf," kata Ahli Parlimen Pagoh itu dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen hari ini.
[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin | 16 Ogos 2021
BACA: "Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kleptokrat" - Muhyiddin
Dalam pada itu, Muhyiddin meletakkan harapan kerajaan baharu dapat dibentuk segera agar pentadbiran negara tidak terganggu dan berjalan seperti biasa.
Beliau turut menjelaskan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak boleh terbantut, bagi memastikan sektor ekonomi dapat dibuka semula sekaligus ekonomi negara kembali pulih.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Isnin.
Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.
Beliau yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari 2020 ekoran krisis politik selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Politik | Rakyat sudah bosan dengan pertelingkahan kuasa politik - Penganalisis
#imuniti kelompok #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Perdana Menteri #rakyat Malaysia #UMNO #Yang di-Pertuan Agong #mohon maaf #jemaah menteri #Perdana Menteri Caretaker