Muhyiddin minta warga pendidik tidak kecewa isu kebocoran UPSR
Muhafandi Muhamad
September 19, 2014 19:41 MYT
September 19, 2014 19:41 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta warga pendidik tidak berasa kecewa terhadap persepsi negatif masyarakat kepada mereka berikutan isu kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
Sebaliknya Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan meminta warga pendidik terus bersemangat dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan selain menunjukkan semangat juang tinggi serta contoh terbaik pada sepanjang masa.
"Supaya guru tidak rasa kecewa, saya tahu selepas peristiwa dilaporkan begitu sebahagian ditahan polis, sebahagian guru pastinya ada perasaan kecewa, muram, tidak seronok.
"Ini adalah sebahagian sahaja, tetapi sebahagian besar yang lain mempunyai integriti dan sifat dedikasi, serta tidak terjebak dengan kegiatan seperti itu, maksud saya jangan rasa kecewa sangat dengan hal itu," katanya semasa sidang media selepas Majlis Sepetang Muhyiddin bersama warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di sini hari ini.
Tambah Muhyiddin, jawatankuasa bebas yang ditubuhkan sebelum ini juga perlu dilihat sebagai satu isyarat, pengajaran serta iktibar kepada semua pihak agar lebih berintegriti.
"Kita akan meneliti keseluruhannya, termasuk bersedia mewujudkan satu dasar baru yang lebih berkesan berdasarkan cadangan serta langkah penambahbaikan terhadap prosedur standard operasi (SOP) dalam sistem peperiksaan yang akan dikaji jawatankuasa berkenaan," ujarnya.
Ketika ditanya kemungkinan Lembaga Peperiksaan (LP) akan diletak di bawah kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Muhyiddin menjelaskan, ia boleh diteliti bersama dengan kajian SOP oleh jawatankuasa bebas berkenaan.
Kata Muhyiddin lagi, pihaknya akan mengkaji langkah yang perlu dibuat termasuk meletakkan Lembaga Peperiksaan di bawah MPM yang mana perkara itu mungkin boleh dilihat bersama dengan kajian SOP berkenaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin mengakui imej kementeriannya sedikit tercalar sehingga menyebabkannya sendiri terpaksa memohon maaf kepada ibu bapa.
Katanya, masalah itu dianggap sudah menjadi satu isu besar dan menular selain meminta semua supaya tidak gundah dan bimbang serta sentiasa yakin imej guru tidak terjejas.