Muhyiddin mahu cabar Akta Hasutan di Mahkamah Persekutuan
Sinar Harian
Februari 4, 2025 13:45 MYT
Februari 4, 2025 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan satu kes hasutan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tahun lalu akan merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.
Ringkasan AI
- Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi tuduhan hasutan semasa kempen PRK DUN Nenggiri dan akan merujuk persoalan undang-undang Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.
- Peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad, menyatakan permohonan dibuat kerana terdapat 'kesukaran luar biasa' dalam akta tersebut dan mahu mencabar kesahihan peruntukan tertentu.
- Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mac depan dan membenarkan pengecualian kehadiran tertuduh pada prosiding akan datang.
Peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin, 78, berkata permohonan itu akan dibuat kerana mendakwa ada ‘kesukaran luar biasa’ yang timbul dalam akta itu.
“Kita juga mahu mencabar kesahihan peruntukan tertentu dalam akta itu,” katanya kepada pemberita selepas sebutan kes hasutan itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memohon pertuduhan dibacakan semula memandangkan pertuduhan hasutan dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Gua Musang, Kelantan ke mahkamah ini.
Selepas Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengulangi pengakuan tidak bersalah, Azlina mencadangkan mahkamah mengguna pakai ikat jamin ditetapkan mahkamah terdahulu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudiannya membenarkan perintah itu selepas pihak pembelaan tidak membantah isu berkenaan.
“Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 6 Mac depan,” katanya.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pembelaan memohon pengecualian kehadiran tertuduh pada prosiding akan datang.
Terdahulu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara jam 10.30 hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Kenyataan menghasut itu berkaitan dakwaan beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding ini, Muhyiddin turut ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta penyokongnya.
Turut hadir dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -- Sinar Harian