Muhyiddin kutuk tindakan Israel
Astro Awani
Julai 11, 2014 09:48 MYT
Julai 11, 2014 09:48 MYT
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel terhadap umat Islam di Palestin.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata serangan Israel itu tindakan zalim mengikut nafsu dan berniat jahat.
Menurut Muhyiddin, tindakan tidak bertanggungjawab itu sudah lama berlarutan walaupun Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB) dan Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.
“Kalau nak dikatakan orang Israel itu tidak pandai, ramai di kalangan mereka yang tergolong dalam golongan yang berilmu seperti bidang sains dan bidang perniagaan.
“Boleh dikatakan mereka dapat menguasai ilmu yang tinggi tetapi ilmu semata-mata dengan tidak ada panduan sebagaimana yang kita pelajari dalam sisitem pendidikan kita dan juga sistem Ulul Albab kita perkenalkan ini tidak mempunyai apa-apa mana, malah ilmu itu membawa bencana," kata Muhyiddin.
Katanya, banyak perkara yang wajar dilakukan telah diputuskan oleh pihak yang terbabit dalam menyelesaikan konflik di Palestin termasuk Israel tetapi rejim itu tidak mematuhinya.
Tambah beliau, kesan serangan Israel itu menjadikan jutaan nyawa rakyat Palestin termasuk kanak-kanak melayang selain menjadi pelarian.
Muhyiddin berucap di majlis pelancaran model pendidikan Islam Ulul Albab di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di Mergong.