Muhyiddin keluar dari SPRM selepas lebih lapan jam beri keterangan

Ridauddin Daud
Mac 9, 2023 20:42 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya selesai memberi keterangan selepas lebih lapan jam memasuki ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya selesai memberi keterangan selepas lebih lapan jam memasuki ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilihat keluar dari bangunan SPRM pada jam 8.20 malam, diiringi beberapa penyokongnya.
Turut kelihatan ialah bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berada di luar bangunan sejak jam 6 petang tadi.
Sebaik keluar, Ahli Parlimen Pagoh itu membuat sidang media kepada hampir 30 petugas media yang masih menunggu di luar bangunan.
Dalam sidang media itu, beliau sekali lagi mengulangi tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak pernah mengambil walau satu sen pun duit rakyat.
Sidang media Tan Sri Muhyiddin Yassin
Beliau juga menegaskan tuduhan terhadapnya adalah dakwaan terpilih, dibuat kerana pihak lawan bimbang dengan kekuatan PN dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Muhyiddin turut memberitahu beliau berdepan tujuh pertuduhan dan akan ke mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada esok.
Beliau kemudiannya akan sekali lagi ke mahkamah pada Isnin namun kali ini ia di Shah Alam.
Sebaik selesai sidang media, Muhyiddin dilihat meninggalkan bangunan SPRM bersama beberapa pemimpin dan penyokongnya.
Difahamkan, beliau akan terus ke Taman Melewar, Gombak untuk menyertai Solat Hajat yang diadakan di sana.
Pergerakan itu mengesahkan Muhyiddin tidak akan bermalam di bangunan SPRM sebaliknya hanya akan ke mahkamah pada pagi esok.
#Muhyiddin Yassin #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #selesai beri keterangan #Perikatan Nasional
;