Muhyiddin: Jadikan sukan ejen penyatuan kaum
Bernama
Jun 2, 2013 08:19 MYT
Jun 2, 2013 08:19 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sukan perlu terus dijadikan ejen penyatuan kaum di Malaysia selain membantu memperkukuh semangat 1Malaysia.
Berucap pada Majlis Anugerah Sukan MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia) 2012 di sini semalam, beliau berkata ini penting dalam memastikan Malaysia terus menikmati keamanan dan kemakmuran.
"Suka juga saya mengingatkan atlet institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mempamer prestasi cemerlang bukan sahaja di arena pertandingan tetapi juga di bilik kuliah kerana anda adalah bakal pemimpin negara masa hadapan," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan.
Beliau berkata penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi diharap membuahkan agenda serta perancangan lebih mantap dalam menyemarakkan lagi pembangunan sukan di peringkat sekolah, IPT dan negara.
Muhyiddin mahu semangat kerja sama yang tinggi antara kementerian, IPT dan semua organisasi sukan dipertingkat bagi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia seperti Pandelela Rinong serta Bryan Nickson Lomas.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah Olahragawan MASUM 2012 kepada Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malik dari Universiti Putra Malaysia mewakili sukan tenpin boling, dan Olahragawati MASUM kepada Cheong Jun Hong, penuntut universiti sama dari sukan terjun.
Masing-masing membawa pulang piala pusingan, trofi, wang tunai RM3,000 dan hadiah iringan.
Muhamad Syafiq menghantar wakil ke majlis itu kerana menyertai pertandingan di Singapura.