Muhyiddin hadiri tiga sesi taklimat di Pejabat Perdana Menteri

Faris Danial Razi
Mac 3, 2020 01:30 MYT
Muhyiddin ketika menghadiri sesi taklimat pada Selasa. -Astro AWANI
Hari kedua menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan untuk mengikuti beberapa taklimat dan perbincangan tertutup di Pejabat Perdana Menteri (PMO), di sini, pada Selasa.
Beliau tiba di sesi taklimat pertama yang diadakan iaitu taklimat ekonomi dan kewangan oleh Kementerian Kewangan pada jam 9.13 pagi.
Antara yang hadir pada sesi itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican.
Selepas taklimat ekonomi dan kewangan, Muhyiddin akan menghadiri taklimat status terkini COVID-19 oleh pasukan petugas khas Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 11 pagi.
Manakala bagi sesi petang, beliau dijadualkan untuk menghadiri satu pertemuan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada jam 2.30 petang.
Dimaklumkan, sesi taklimat yang diadakan tersebut adalah bagi membincangkan isu-isu penting dalam negara terlebih dahulu sebelum pembentukan Kabinet yang dijangka siap dalam masa terdekat.
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #Kementerian Kewangan #Muhyiddin Yassin #perbincangan tertutup #Perdana Menteri #Zulkifli Mohamad Al-Bakri