Muhyiddin gariskan empat fokus utama pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-23

Astro Awani
November 12, 2020 17:58 MYT
Terdahulu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang bermula Khamis, menyaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dua kali setahun itu, dari Kuala Lumpur. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Empat fokus utama digariskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-23 merangkumi kerjasama dalam bidang ekonomi, teknologi dan pendidikan serta Strategi Indo-Pasifik ASEAN (AOIP).
Muhyiddin pada masa sama, menghargai sumbangan bernilai AS$1 juta bagi pengurusan COVID-19 menerusi Dana Respon ASEAN.
"Kami juga mengalu-alukan cadangan oleh Jepun bagi penubuhan Pusat ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam dan Penularan Wabak.
"Pada masa sama kami menantikan laporan akhir berkenaan kajian penubuhan pusat tersebut dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat," ujarnya.
Beliau bercakap demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang bermula Khamis bertemakan “Cohesive and Responsive ASEAN".
Kerjasama ekonomi
Bagi kerjasama ekonomi antara dua negara, Muhyiddin memaklumkan Jepun berjaya mempamerkan peranan penting dan saling melengkapi sebagai salah satu rakan dagangan utama ASEAN yang juga merupakan sumber pelaburan langsung asing yang penting buat ASEAN.
"Dalam hal ini, Malaysia melihat penerapan ekonomi Pelan Tindakan Ketahanan ASEAN-Jepun adalah tepat pada masanya.
"Kami percaya bahawa pelan tersebut bakal membantu mengekalkan aliran barang dan perkhidmatan yang diperlukan, serta mengekalkan hubungan rantaian bekalan di rantau ini. Pelan ini amat penting dalam usaha kita mengurangkan kesan buruk akibat penularan wabak COVID-19 di rantau ini secara ekonomi," jelasnya.
Kerjasama teknologi
Bagi kerjasama ini, Malaysia percaya kerjasama antara ASEAN dan Jepun bakal memberi fkebaikan antara satu sama lain terutamanya sebagai kerjasama komprehensif pemulihan pasca COVID-19.
"Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk meningkatkan penggunaan digital dan meningkatkan usaha teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
"Dalam hal ini, kepakaran Jepun dalam mengusahakan teknologi maklumat amat berharga buat ASEAN dalam usaha menyesuaikan diri dengan revolusi digital," katanya.
Kerjasama pendidikan
Sementara itu, Muhyiddin berkata Malaysia mengalu-alukan kerjasama berterusan pelbagai institusi pendidikan antara ASEAN dan Jepun dalam mempromosikan jaringan yang lebih luas terutamanya bagi bidang pendidikan dan kajian melalui perkongsian sumber dan pakar serta pertukaran maklumat dan idea.
"Bagi hal ini, kami ingin melihat kedua-dua pihak melakukan usaha konkrit untuk memperhebat perkongsian dan kolaborasi antara industri dan akademik di kalangan ASEAN dan Jepun," katanya.
Strategi Indo-Pasifik ASEAN (AOIP)
Bagi AOIP, komitmen antara ASEAN dan Jepun bagi strategi ini dilihat bakal memperkukuhkan lagi kerjsama dalam empat bidang AOIP melalui mekanisme pimpinan ASEAN sedia ada.
"Kami yakin bahawa hubungan erat antara ASEAN dan Jepun akan terus diperkukuhkan melalui pelbagai penglibatan dan inisiatif di bawah keempat-empat bidang kerjasama ini, termasuk maritim, hubungan awam, ekonomi dan matlamat pembangunan lestari," ujarnya.
Terdahulu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang bermula Khamis, menyaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dua kali setahun itu, dari Kuala Lumpur.
Turut serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc mempengerusikan acara pembukaan dari Hanoi secara maya yang turut disertai pemimpin ASEAN lain.
#Muhyiddin Yassin #Azmin Ali #Hishammuddin Hussein #AS #Kuala Lumpur #ASEAN #COVID-19 #Jepun #Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun
;