Muhyiddin fail saman fitnah terhadap Puad Zarkashi

Astro Awani
Mac 1, 2021 19:04 MYT
Tuntutan Tan Sri Muhyiddin dibuat susulan kenyataan Datuk Mohd Puad dalam laman Facebook beliau pada 9 Februari lepas yang bertajuk "Kuarantin Pun Ada Dua Darjat". - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, menuntut ganti rugi dan permohonan maaf daripada beliau.
Tuntutan itu dibuat susulan kenyataan Mohd Puad dalam laman Facebook beliau pada 9 Februari lepas yang bertajuk “Kuarantin Pun Ada Dua Darjat”.
Bersama tuntutan tersebut, Muhyiddin juga mengemukakan permohonan ex-parte untuk injunksi sementara bagi menghentikan Mohd Puad daripada memuat naik status di Facebook beliau yang didakwa memfitnah atau status yang hampir sama.
Menurut laporan Malay Mail, salah seorang peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril meluluskan perintah sementara tersebut.
“Alasan permohonan telah dipenuhi dan afidavit menunjukkan semua fakta.
“Mahkamah berpuas hati bahawa defendan (Mohd Puad) harus dikekang hingga akhir sidang inter-parte,” kata Rosli ketika menjelaskan alasan mengapa Mahkamah Tinggi memberikan perintah sementara terhadap Mohd Puad.
Peguam lain yang mewakili Muhyiddin di mahkamah yang mendengar perbicaraan sementara itu melalui permohonan ex-parte adalah Datuk DP Naban dan Louis Liaw.
Menurut peguam Muhyiddin, tuntutan tersebut mengatakan bahawa catatan Facebook dan kandungan Mohd Puad tidak benar dan tidak berasas.
Dalam tuntutan saman fitnah terhadap Puad, Muhyiddin meminta ganti rugi dalam bentuk ganti rugi umum, ganti rugi teladan dan ganti rugi bertambah dengan jumlah yang akan dinilai dan ditentukan oleh pengadilan.
Muhyiddin juga meminta perintah untuk menahan Mohd Puad atau rakan-rakannya atau wakilnya daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi catatan Facebook.
Perdana Menteri juga meminta perintah pengadilan agar Mohd Puad segera, jelas dan kekal membuat permintaan maaf secara umum di halaman Facebook “DrPuad Zarkashi”.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #fitnah #mahkamah #saman #majlis tertinggi #UMNO #Puad Zarkashi #menteri #Facebook #kuarantin #dua darjat
;