Muhyiddin dijangka berdepan enam pertuduhan termasuk salah guna kuasa - Sumber

Umavathi Ramayah
Mac 9, 2023 08:57 MYT
Muhyiddin dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas enam pertuduhan. - Sumber foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas enam pertuduhan.
Sumber ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Khamis mendedahkan, empat daripada pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana salah guna kuasa.
Sementara dua lagi pertuduhan membabitkan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh akan didakwa di mahkamah pagi esok.
[TERKINI] Ketua Pesuruhjaya SPRM sahkan Muhyiddin didakwa esok
Desas-desus Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.
Sebelum ini Bendahari Agung Bersatu, Datuk Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.
Sebelum ini, SPRM turut membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.
.
#pengubahan wang haram #Muhyiddin Yassin #Jana Wibawa #Perikatan Nasional