Muhyiddin cabar presiden Pas keluarkan Fatwa
Astro Awani
Februari 26, 2013 08:28 MYT
Februari 26, 2013 08:28 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan fatwa mengharamkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Beliau juga mencabar pemimpin Pas itu membuat satu lagi fatwa perbuatan rakyat yang menerima bantuan berkenaan juga adalah haram.
“Adakah semua rakyat harus pulangkan wang bantuan? Sanggupkah mereka (Pas) buat fatwa atau menghukum penerima supaya harus pulangkan balik segala bantuan yang diterima?” soal Muhyiddin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan percaya pemberian BR1M ini adalah satu amalan baik bagi meringankan beban rakyat dan menyenangkan urusan harian.
Tambah beliau BR1M adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan sekaligus mampu memperbaiki kualiti hidup seluruh rakyat.
Muhyiddin mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam konvensyen Pakatan Pembangkang di Shah Alam yang menyamakan pemberian BR1M dengan amalan di zaman Firaun yang menggalakkan rakyat bergantung kepada kerajaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menghadiri majlis penyampaian BR1M untuk golognan bujang di Kompleks Sukan Pagoh.