Muhyiddin bimbang trend mutakhir hubungan antara kaum cetus polarisasi

Astro Awani
Julai 30, 2013 11:03 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangannya terhadap trend mutakhir yang berlaku dalam masyarakat masa kini yang semakin berani menyentuh isu-isu hubungan antara kaum sehingga menimbulkan polarisasi.
Beliau berkata, masyarakat kini dilihat terlalu sensitif sehingga menjadikan usaha baik yang dirancang kerajaan seperti Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 dimanifestasi sebagai syak wasangka yang menyentuh bab perkauman.
"Dalam suasana begini, masyarakat Islam perlu kukuhkan Jemaah...kerana adanya anggapan bahawa masyarakat Islam tidak kukuh berikutan pelbagai puak Melayu, ramai yang lantang sehingga berani mempersoalkan hak-hak dalam Perlembagaan, agama dan Raja," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa anjuran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di kediaman rasmi di Ipoh pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Abdul Puhat Mat Nayan dan beberapa orang anggota Exco kerajaan negeri.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan berupa kurma, air zam-zam, kain pelikat dan jubah kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri.
Beliau turut menghadiri majlis tahlil serta menunaikan solat Maghrib dan terawih berjemaah yang dipimpin oleh Guru Al-Quran Masjidil Haram, Mekah Sheikh Osama Mohammad Iqbal.
#isu kaum #Muhyiddin Yassin #polarisasi #trend mutakhir
;