Muhyiddin berlepas pulang, akhiri lawatan kerja di Sabah

Bernama
Mac 22, 2021 19:27 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mengaminkan doa sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai lawatan dua hari ke Sabah hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini setelah berada di sini sejak malam tadi bagi lawatan kerja ke negeri ini.
Pesawat khas yang dinaiki perdana menteri dan rombongan berlepas ke ibu negara pada 5.05 petang tadi dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Turut berada di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat jalan ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, dua Timbalannya iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan serta ahli kabinet negeri.
Sepanjang berada di negeri ini, perdana menteri mengikuti jadual yang padat termasuk menghadiri majlis makan malam Gabungan Rakyat Sabah dan Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Beliau juga melawat Pusat Vaksinasi COVID-19 sebelum mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Muhyiddin turut melancarkan Projek Lok Kawi Resort City serta majlis memorandum inisiatif pelaburan asing dan domestik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah sebelum mengakhiri lawatannya dengan mengadakan Ziarah Prihatin di Tanjung Aru dan Kampung Sembulan Tengah.
-- BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #lawatan kerja #Sabah #Perdana Menteri #Kota Kinabalu
;