'Muhyiddin, berehatlah, biar SPRM siasat 1BestariNet hingga selesai'
Mariah Ahmad
Julai 28, 2015 12:49 MYT
Julai 28, 2015 12:49 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini digesa mengambil cuti rehat hingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek 1BestariNet selesai.
Penasihat Ekonomi Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) Suud Ridzuan berkata pihak mereka telah membuat aduan kepada SRPM pada kira-kira 11.40 pagi tadi untuk menyiasat kegagalan projek runding terus 1BestariNet yang bernilai RM663 juta yang diluluskan Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan.
"Tan Sri Muhyiddin, bercutilah. Berehatlah buat sementara siasatan 1BestariNet ini selesai. Kami amat prihatin bahawa RM663 juta sudah dibelanjakan adalah wang rakyat. Ini adalah satu jumlah yang sangat besar.
"Menurut laporan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang), projek ini adalah satu kegagalan. Mengapakah jumlah yang begitu besar dibelanjakan untuk program ini? Saya mohon SPRM siasat,
"Bayangkan ini merupakan fasa pertama. Fasa kedua, fasa ketiga merangkumi lebih satu billion ringgit. Kami sangat kecewalah. Kami mahu anak-anak mendapatkan teknologi yang terkini untuk memudahkan proses pembelajaran.
"Saya risau dari kes 1MDB, Datuk Seri Najib bertindak tegas. Beliau memulakan siasatan secepat mungkin tetapi bagi 1BestariNet ini jumlah RM663 juta ini besar, mengapa kita tidak didedahkan," tambah Suud kepada pemberita di perkarangan pejabat SPRM, di sini hari ini ini.
Ketika ditanya adakah tindakan PMSP ini berkaitan dengan kenyataan Muhyiddin dalam mesyuarat UMNO baru-baru ini, beliau berkata PMSP hanya mahu projek 1BestariNet ini disiasat.
Selain itu Suud juga mempersoal motif dan niat Muhyiddin berhubung ucapannya yang merujuk akhbar The Edge untuk memahami isu 1MDB.
"Akhbar The Edge jelas sekali mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan melariskan akhbar tersebut dan seterusnya merosakkan persepsi rakyat terhadap perdana Menteri. Taktik kotor ini mesti dihukum dan menjadi pengajaran.
"Rakyat perlu tahu apakah hubungan The Edge dengan anak Muhyiddin kerana Muhyiddin perlu jelaskan projek hartanah anaknya dengan pemilik The Edge Tong Kooi Ong."
1BestariNet adalah projek inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications.
Dalam projek ini, 10,000 sekolah di seluruh Malaysia akan dilengkapi akses Internet berkelajuan tinggi dan platform pembelajaran maya yang mengaplikasikan jaringan Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia.
Visi 1BestariNet adalah mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital di antara murid kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan pendidikan berteras Internet yang berkualiti kepada semua rakyat Malaysia.