Muhyiddin: Bayaran kepada McKinsey berpatutan

Astro Awani
September 25, 2013 15:29 MYT
Bayaran RM20 juta kepada kepada firma perunding McKinsey and Co untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah berpatutan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata bayaran tersebut mengambil kira kerja-kerja selama dua tahun untuk menyiapkan pelan itu yang dibuat oleh dibuat oleh firma perunding berkenaan.
"Ia bukan suatu perkara yang kita buat bersendirian kerana kita adakan perundingan, mengambil khidmat pakar dari peringkat antarabangsa, turun ke setiap negeri, buat hari terbuka dan sebagainya dalam tempoh dua tahun. Ia bukan sesuatu yang mudah," katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan undang-undang persaingan anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan menjelaskan perkara itu lebih lanjut selepas semua bayaran itu diperincikan.
Pada selasa, anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming dari DAP menyifatkan langkah kerajaan membayar firma tersebut sebagai membazirkan wang pembayar cukai.
Katanya, McKinsey adalah firma perunding pentadbiran umum yang didakwa tiada kepakaran khusus dalam bidang pendidikan, terutamanya apabila dibandingkan dengan pasukan petugas untuk projek itu.
"Setakat yang saya tahu, ini kali pertama perunding luar digunakan untuk mendraf rangka dasar pendidikan Malaysia dan dengan kos ini," kata Ong.
Beliau berkata demikian selepas dewan rakyat pada Selasa diberitahu Kementerian Pendidikan membayar firma Mckinsey and Co RM20.56 juta untuk menyiapkan dokumen tersebut.
Ikuti video yang disediakan.
#McKinsey #Muhyiddin #PPPM
;