Muhyiddin balas tuduhan pembangkang dakwa BN bersifat perkauman
Teoh El Sen
Mei 30, 2014 13:49 MYT
Mei 30, 2014 13:49 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membalas tuduhan pembangkang yang mengatakan Barisan Nasional (BN) bersifat perkauman.
Muhyiddin berkata jika perkara itu benar, parti pemerintah itu tidak mungkin bekerjasama dengan begitu banyak parti komponen.
"Kita adalah parti politik yang paling bersifat terbuka, semua kaum ada bersama kita" kata Muhyiddin kepada khalayak yang majoritinya dari kaum India di Dewan Rumah Rehat di bandar Teluk Intan.
"Kami mempunyai MIC yang menjaga orang India, jika UMNO bersifat perkauman kita tidak akan bekerjasama dengan parti-parti seperti PPP dan parti-parti Cina seperti MCA dan Gerakan serta LDP di Sabah dan SUPP di Sarawak. Sekarang kita mempunyai 13 parti, mereka hanya mempunyai tiga sahaja" katanya.
Beliau juga berkata pihak pembangkang selalu mengatakan BN mengamalkan rasuah, tetapi masih tidak dapat membuktikannya.
"Saya tidak takut untuk bercakap tentang perkara ini. Jangan mengatakan ini adalah rasuah dan itu adalah rasuah. Tetapi katakan siapa dan apa? Jangan hanya membuat tuduhan yang tidak berasas" katanya lagi.
Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya semasa sesi sarapan bersama wakil-wakil dari 25 NGO kaum India dari pelbagai sektor.
Muhyiddin berjanji kepada mereka yang hadir bahawa jika calon BN Datuk Mah Siew Keong dipilih, program-program yang dirancang untuk masyarakat akan berterusan.
"Sila keluar mengundi. Mereka yang dari estet minta izin penyelia anda untuk keluar untuk hanya satu jam. Walaupun kita tidak mendapat 11,000 undi, 7,000 atau 8,000 sudah mencukupi, " kata Muhyiddin sambil menegaskan setiap undi akan dikira.
"Semua orang tahu kita membantu semua kaum. Semua akan dapat manfaatnya. Kita akan cari jalan penyelesaiannya kepada semua masalah anda" katanya yang turut menyatakan sokongan BN ke atas sekolah-sekolah Tamil, krematorium dan kuil-kuil Hindu.
Beliau berkata pembangunan ekonomi adalah isu sebenar berbanding isu Barangan dan Cukai Perkhidmatan yang dimainkan DAP.
Muhyiddin turut ditanya mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Mah akan diangkat menjadi menteri jika beliau menang di Teluk Intan, Muhyiddin menegaskan bahawa kemenangan tersebut akan memberi banyak kebaikan kepada Teluk Intan.
“Ini bukan gimik, jika Ahli Parlimen jadi menteri pastinya ia memberi banyak faedah kepada rakyat” tambah beliau lagi.
Menjawab dakwaan DAP bahawa Mah akan diberikan kedudukan tidak kira menang atau kalah di Teluk Intan, Muhyiddin berkata Mah tidak pernah berminat untuk menjadi Senator.
“Oleh kerana dia menang sebagai presiden Gerakan, beliau tidak pernah berminat untuk menjadi Senator. Beliau mahu memulihkan semula parti. Itu pendirian beliau dan kita menghormati perkara itu" terang Muhyiddin.