Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada Sabtu mengumumkan pelantikan Muhammad Nizam Alias sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana yang baharu, berkuatkuasa serta-merta.

Beliau mengisi kekosongan jawatan selepas hampir enam bulan sejak peletakan jawatan Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain sebelum ini.

Menurut Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, pelantikan Muhammad Nizam disokong sebulat suara oleh Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana, yang bermesyuarat baru-baru ini.

“Seluruh anggota Lembaga Pengarah mempunyai keyakinan penuh atas kepimpinan beliau sejak dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) dua tahun lepas.

“Dengan pengetahuan mendalam yang dimiliki beliau tentang pengurusan dan operasi Kumpulan Prasarana dan anak-anak syarikatnya, Muhammad Nizam adalah tokoh paling layak untuk memimpin organisasi,” jelas Tajuddin sewaktu sidang media di Glenmarie, Shah Alam.

Berpengalaman luas dalam industri pengangkutan awam, Muhammad Nizam, pernah berkhidmat dengan Kumpulan Renong dan Pos Malaysia, dan berkhidmat sebagai Pengurus Besar di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada tahun 2008 ketika Prasarana bergelar Syarikat Prasarana Negara Berhad.

Beliau juga melaksanakan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk merangsang semula ekonomi negara, di mana Prasarana menjual lebih 70,000 pas perjalanan tanpa had dalam masa dua minggu selepas diperkenalkan pada 15 Jun lepas.