Muhammad Luth Syauqi mengalir air mata malam tadi - Ibu
Bernama
Julai 12, 2024 21:29 MYT
Julai 12, 2024 21:29 MYT
GEORGE TOWN: Mangsa kedua kejadian keropok beracun Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan yang menghembuskan nafas terakhirnya hari ini, mengalirkan air mata malam tadi.
Menurut ibu kanak-kanak itu Nurain Hasnorizal, 25, anak bongsunya berusia dua tahun yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), tidak menunjukkan tindak balas lain namun mengalirkan air mata.
"Doktor yang merawat adik (Muhammad Luth Syauqi) memang dah maklumkan agar kami bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kerana adik sudah tidak berikan sebarang tindak balas sejak Rabu dan doktor juga beritahu yang otak adik tiada tindak balas apa-apa," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HPP di sini.
Muhammad Luth Syauqi meninggal dunia pada 1.24 tengah hari tadi, dua hari selepas pemergian abangnya Muhammad Akil Syauqi, 3, ketika menerima rawatan di PICU HPP.
Kedua-dua beradik malang itu menerima rawatan di PICU HPP sejak Ahad lalu selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah.
Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi Rabu selepas 78 jam bertarung nyawa.
Nurain berkata meskipun sedih kehilangan dua anak tersayang dalam tempoh dua hari, namun dia harus kuat bagi meneruskan kehidupan.
"Saya bisik di telinga adik yang ibu reda kalau adik nak pergi dan ikutlah abang...adik memang rapat dengan abang jadi pergilah bersama-sama, abang tunggu di sana untuk bermain," katanya dalam nada sebak.
Nurain berkata jenazah Allahyarham Muhammad Luth Syauqi akan dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum dikebumikan di sebelah kubur abangnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, malam ini.
Media melaporkan dua kanak-kanak itu dipercayai mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun yang dikatakan untuk memerangkap monyet.
Kejadian itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi Ahad lepas selepas melihat kedua-dua anaknya muntah dan mulut mereka berbuih.
-- BERNAMA