Muhammad Khairi, Normawaty dinobat qari dan qariah Melaka 2024
Bernama
Mei 11, 2024 09:45 MYT
Mei 11, 2024 09:45 MYT
MELAKA: Dua guru al-Quran dinobatkan sebagai johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran 2024 Peringkat negeri Melaka yang berlangsung Masjid Al Azim di sini malam tadi.
Muhammad Khairi Maidin, 25, dan Normawaty Sahat, 51, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000, piala iringan dan pakej umrah yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Normawaty berkata beliau amat bersyukur dan sama sekali tidak menyangka memenangi pertandingan pada tahun ini selepas lima kali menyertai program tilawah itu sejak 2008.
"Perasaan saya sudah tentu gembira kerana ini kali pertama mendapat johan, persediaan untuk pertandingan ini telah dilakukan sejak beberapa bulan lepas selain melakukan latihan bacaan setiap kali sebelum dan selepas solat terutama di waktu Subuh.
"Saya bersyukur dengan ilmu al-Quran yang diajarkan oleh kedua orang tua sejak dahulu lagi, walaupun mereka tiada lagi kini tetapi ia amat bermanfaat untuk kehidupan," katanya kepada Bernama di sini.
Normawaty berkata selain mengajar mengaji di rumah, beliau turut mengajar al-Quran kepada individu bekerja di industri secara persendirian dan membantu pelajar di sekolah yang menduduki ujian.
Sementara itu Muhammad Khairi berkata sejak kali terakhir menyertai tilawah pada 2020, beliau banyak memperhalusi bacaannya dari semua sudut fasohah, taranum dan tajwid selain berjumpa dengan ramai guru untuk berlatih.
Katanya yang mengajar al-Quran di sebuah sekolah di Selangor, dalam tempoh dua minggu sebelum bermulanya pertandingan tilawah peringkat kebangsaan beliau berazam untuk memberikan yang terbaik dengan segala ilmu dipelajarinya.
Normawaty dan Muhammad Khairi akan mewakili Melaka ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi di Kuantan, Pahang bermula 23 Mei ini.
-- BERNAMA