Muhammad Haikal menangis tanpa henti minta dibenar lihat jenazah ayahnya - Ibu

Amirrul Rabbani
Mac 2, 2021 17:37 MYT
Muhammad Haikal dilihat menangis menatap jenazah bapanya yang tiba di pekarangan dewan peperiksaan sebelum menduduki SPM.- Foto Badariah Mohd Mohaidin
KUALA KANGSAR: Pemergian bapa tercinta pastinya satu dugaan berat buat seorang remaja lebih-lebih lagi ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Itulah yang dirasakan Muhammad Haikal Iskandar Zamri, 18, yang baru-baru ini hanya sempat menatap jenazah bapanya buat kali terakhir di dalam van jenazah di perkarangan dewan peperiksaan di sekolahnya.
Rakaman video berkenaan menjadi tular dan mengundang simpati netizen terhadap calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar itu.
Video calon SPM tatap jenazah ayah sebelum duduki peperiksaan runtun jiwa warganet
Menceritakan kejadian itu, ibunya Siti Rahayu Norji, berkata anaknya tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapat berita kematian ayahnya di hospital pada malam Selasa minggu lalu.
"Ketika saya pulang ke rumah dari hospital, dia menangis tanpa henti dan meronta-ronta meminta dibenarkan melihat jenazah ayahnya buat kali terakhir. Dia mahu menguruskan jenazah ayahnya sendiri.
"Saya pujuk dia dan minta dia pergi sekolah seperti biasa esoknya kerana dia perlu menduduki peperiksaan. Saya berjanji akan bawa jenazah bapanya ke sekolah sebelum dikebumikan.
"Kemudian pukul 3 pagi saya telefon cikgu. Saya minta kebenaran untuk bawa jenazah bapanya singgah di sekolah terlebih dahulu. Saya beritahu, Haikal tak mahu pergi periksa (duduki peperiksaan) jika tak boleh lihat jenazah bapa," katanya.
BACA: Salam akhir, Muhammad Haikal tatap jenazah ayah sebelum duduki peperiksaan SPM
SPM | Tatap jenazah ayah sebelum duduki peperiksaan SPM
Mengulas lanjut, kata Siti Rayahu, selepas mendapat keizinan pihak sekolah, van jenazah yang membawa arwah suaminya itu singgah di SMK Beluru untuk membolehkan anaknya menatap jenazah bapanya buat kali terakhir.
Suaminya, Zamri Abd Halim, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Kuala Kangsar selepas dirawat selama lima hari di hospital berkenaan.
Siti Rahayu ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderoh, Datuk Zainuin Mat dan Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Kangsar, Noriah Abd Karim di kediamannya di Kampung Tahan Chegar Galah, pada Selasa.
Terdahulu, Siti Rayahu menerima faedah pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM592 setiap bulan dan faedah pengurusan jenazah RM2,000.
Sementara itu, Noriah berkata, Siti Rahayu dan keluarganya layak menerima manfaat berkenaan kerana arwah suaminya pernah bekerja dan mencarum dengan Perkeso.
Zainuin pula berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan keluarga itu terbela selain bersedia untuk memberi bantuan-bantuan kecemasan yang lain.
#pelajar #calon SPM #tatap jenazah bapa #van jenazah #sekolah #salam akhir #muhammad haikal #SMK beluru #Kuala Kangsar #Tular #netizen #kesedihan
;