Muhammad Aming tinggalkan nasihat berguna pada orang ramai

Bernama
Ogos 26, 2021 05:55 MYT
Kanak-kanak berusia 9 tahun itu meninggal dunia pada Khamis dan berita duka itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri.
TAWAU: Video Allahyarham Muhammad Aming Salleh Abdullah yang petah bercakap, berpesan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19, pasti mengundang rasa sayu kepada mereka yang menonton klip video yang tular itu, baru-baru ini.
Kanak-kanak berusia 9 tahun itu meninggal dunia pada Khamis dan berita duka mengenai kepulangan beliau ke Rahmatullah turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang melalui laman sosial Facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarham.
"Ternyata Allahyarham adik Aming seorang anak yang sangat baik dan bijaksana. Sama-sama kita sedekah al-Fatihah untuk Allahyarham adik Aming yang kita sayangi," kata Ismail Sabri.
Sebelum ini video Allahyarham yang meminta orang ramai mematuhi SOP memakai pelitup muka pernah diulang siar Perdana Menteri ketika beliau masih menjadi Menteri Kanan (Keselamatan).
Ibunya Santi Sabri, 33, ketika dihubungi pemberita berkata anak bongsu daripada empat adik beradik itu meninggal dunia di kediamannya di Jalan Kuhara di sini, selepas mengalami sesak nafas kira-kira pukul 1.30 pagi.
"Anak saya sihat sahaja berlari-lari lagi semalam, malah sempat angkat barang dan membantu saya berjual di Pasar Sin Onn kelmarin. Kira-kira pukul 12 tengah malam tadi dia mahu makan mi segera dan sejam kemudian tiba-tiba dia melaungkan azan dan solat, sebelum meninggal dunia," katanya.
Bagaimanapun, Santi reda dengan apa yang terjadi dan menganggap ia ujian untuk mereka sekeluarga.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Alip Mohamad,45, berkata anaknya itu ada menghidap penyakit asma dan mudah lelah.
-- BERNAMA
#Muhammad Aming Salleh Abdullah #ismail sabri yaakob #COVID-19 #sesak nafas
;