'Muhammad Alif tiba-tiba suka tidur atas sejadah ..." - Ibu bayi ditemui lemas tersembam dalam baldi
Nur Fazlizai Ali
Januari 30, 2019 18:29 MYT
Januari 30, 2019 18:29 MYT
Bayi lelaki yang ditemui lemas di dalam baldi di rumah keluarganya, kerap berulang-alik ke bilik air dan menunjukkan beberapa kelakuan pelik tiga hari sebelum kejadian.
Bagaimanapun ibunya Nor Azizah Ismail tidak menyangka anak bongsunya Muhammad Alif Ridwan Wahab akan meninggalkan mereka semua.
Katanya sebelum kejadian itu dia sempat memberikan anaknya yang berusia satu tahun enam bulan itu makan Milo dan menjadi makanan terakhirnya.
“Dua tiga hari ini macam pelik sikit dengan kelakuan dia macam selalu pegang tangan saya, tidak mahu berpisah, saya hendak pergi kerja memang dia menangis, ikutkan makan pun dia kurang sikit. Malam dia ada tidur atas sejadah, saya tak ada rasa apa-apa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata sebelum kejadian, dia bersama beberapa lagi anaknya sedang tidur di ruang tamu dan ketika terjaga anaknya itu tiada di ruangan tersebut.
“Saya rasa macam hendak bangun masak nasi saya terus bangun. Saya tanya mana adik, tak tahu, saya pergi dapur, terpandang ke sebelah kiri tengok anak saya dalam baldi, kaki di atas.
“Masa itu saya terus ambil anak saya bawa pergi klinik dengan naik motor. Masa itu memang saya tidak sempat hendak naik kereta, anak yang sulung dukung adik naik motor, sampai di klinik saya rayu selamatkan anak saya, saya sanggup bayar berapa pun,” katanya lagi.
Dalam kejadian Selasa itu seorang bayi lelaki ditemui lemas di dalam baldi di bilik air rumah keluarganya di Kampong Bukit Tunggal, Kuala Nerus.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampong Gong Sentul, Kuala Nerus pada jam 10 malam tadi.
#air
#anak
#Astro Awani
#bayi
#jenazah
#Kuala Nerus
#lelaki
#lemas
#mangsa
#pelik
#rumah
#terengganu
#tersembam